Risalah Ramadan
[siri 1, Ramadan 1441 H]
PANDUAN RINGKAS IBADAH PUASA
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji itu tertentu bagi Allah tuhan semesta alam.
Selawat dan salam buat Rasulullah yang membawa cahaya bagi menerangi kelam,juga buat keluarga dan para sahabat Baginda yang ibarat bintang di langit malam,
Definisi Puasa
Puasa ialah menahan diri dari perkara-perkara yang
membatalkan puasa dari terbitnya fajar sadiq[1]
hingga terbenamnya matahari dengan niat.
Cara Menentukan Awal Ramadan
Awal Ramadan ditentukan dengan melihat hilal (anak
bulan) di ufuk barat selepas matahari hari 29 Syaaban iaitu pada waktu Maghrib.
Jika hilal kelihatan maka bermulalah 1 Ramadan dan Syaaban hanya 29 hari. Jika
hilal tidak kelihatan maka wajib mengenapkan bulan Syaaban dengan 30 hari.
Syarat-syarat Wajib Puasa
Puasa diwajibkan ke atas setiap;
1.
muslim yang
2.
baligh,
3.
berakal dan
4.
mampu berpuasa.
Oleh
itu, puasa tidak sah untuk dilakukan oleh orang kafir asal dan juga orang
murtad. Selain itu, puasa juga tidak sah untuk dilakukan oleh perempuan yang
sedang mengalami haid atau nifas.
Puasa
tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak. Meskipun begitu, ibu bapa atau penjaga
diwajibkan supaya mengajar dan menyuruh anaknya berpuasa selepas genap berusia
tujuh tahun. Seterusnya, apabila genap usia sepuluh tahun maka anak itu
hendaklah dipukul oleh ibu bapa atau penjaga kerana meninggalkan puasa dalam
keadaan dia mampu berpuasa dan si anak itu tidak wajib mengqada'kan
puasa yang ditinggalkan itu. Demikian juga puasa tidak diwajibkan ke atas orang
gila dan tidak wajib mengqada'kan puasa yang ditinggalkannya.
Selanjutnya,
puasa yang dilakukan secara tunai tidak diwajibkan ke atas orang sakit yang
jika puasa boleh memudaratkannya, tetapi dia diwajibkan qada' puasa pada
hari yang lain selepas sihat. Selain itu, puasa tunai juga tidak diwajibkan ke
atas orang yang bermusafir dengan perjalanan sejauh dua marhalah, tetapi
dia diwajibkan qada' puasa jika dia meninggalkan puasa. Musafir yang
mahu meninggalkan puasa hendaklah keluar dari kampungnya sebelum terbitnya
fajar dengan niat bermusafir.
Puasa
juga tidak diwajibkan ke atas orang tua yang tidak larat berpuasa iaitu yang
dibimbangi kebinasaan dan kematian.
Rukun-rukun Puasa
1.
Niat; iaitu tempat niat ialah di dalam hati dan masa niat bagi
puasa fardu atau wajib ialah dari terbenamnya matahari sehingga sebelum
terbitnya fajar sadiq. Niat puasa fardu Ramadan wajib pada waktu malam
bagi setiap hari dalam bulan Ramadan dengan menentukan jenis puasa. Puasa tidak
sah tanpa niat di dalam hati, tetapi puasa tetap sah tanpa lafaz niat dengan
lidah jika sudah diniatkan di dalam hati.
Perempuan yang terputus darah haid
atau darah nifas pada waktu malam hendaklah berniat untuk berpuasa untuk hari
esok meskipun dia belum mandi wajib. Ini kerana mandi wajib adalah syarat sah
solat bukannya syarat sah puasa. Perbuatan makan, tidur dan jimak selepas niat
dan sebelum terbitnya fajar tidak membatalkan niat dan puasa.
Sesiapa tidur pada waktu malam dan
dia belum berniat untuk berpuasa hingga dia sedar selepas terbitnya fajar, maka
dia diwajibkan menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dan
diwajibkan qada' puasa yang ditinggalkan itu.
2.
Menahan diri; iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang
membatalkan puasa dari terbitnya fajar sadiq sehingga terbenamnya
matahari.
Perkara-Perkara Yang Membatalkan
Puasa
1.
Memasukkan sesuatu benda dengan sengaja[2]
ke dalam rongga sama ada rongga untuk makanan dan selainnya kecuali mata. Batas
rongga-rongga tersebut adalah seperti berikut;
a)
Mulut; tempat keluar huruf ha' (ha' pedas) seperti menelan sesuatu
walaupun sedikit sehingga melampaui tempat selepas tempat keluar huruf ha' kecuali
air liurnya[3]
yang sedia ada di dalam mulutnya. Jika air liurnya dikeluarkan ke luar mulut
kemudian dia menelannya maka puasanya batal.
b)
Hidung; khayshum, iaitu hujung hidung di tempat yang ada tulang. Jika
sesiapa memasukkan sesuatu ke dalam hidungnya hingga sampai ke khayshum maka
puasanya batal.
c)
Telinga; lubang telinga.
d)
Kemaluan; had qubul lelaki ialah suatu yang melampaui tempat keluar
(lubang) air kencing, dan had qubul perempuan ialah suatu yang melampaui
farajnya seperti keadaan farajnya ketika duduk di atas dua kakinya untuk buang
air. Had dubur ialah suatu yang melampaui bahagian yang terbuka ketika
istinjak meskipun sedikit.
2.
Jimak.
3.
Mengeluarkan air mani dengan sengaja seperti beronani.
4.
Keluar darah haid dan nifas[4].
5.
Muntah dengan sengaja.
6.
Hilang akal walaupun seketika.
7.
Pengsan keseluruhan siang.
8.
Murtad, iaitu dengan salah satu daripada tiga sebab
berikut:
a)
pegangan yang kufur seperti beriktikad bahawa Allah berada bertempat di atas langit atau duduk di atas Arasy
(inilah antara
akidah kufur fahaman Wahhabi mujassimah), atau
b)
perbuatan yang kufur seperti memijak al-Quran atau sujud terhadap berhala, atau
c)
perkataan yang kufur seperti perkataan yang menghina Allah, para nabi dan
rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan semua yang bersangkutan dengan hukum dan syiar
Islam. Contohnya, kata-kata ini: "Allah pun letih juga",
"Cintaku kepadamu melebihi cintaku kepada Nabi", "Al-Quran
ketinggalan zaman", "Solat lima waktu tidak wajib" dll.
Tuntutan-tuntutan Ke Atas Orang Yang Tidak Berpuasa
(Bulan Ramadan)
1.
Qada' sahaja ke atas;
a)
orang yang tidak puasa atau membatalkan puasa dengan
sengaja (tidak lupa) tanpa sebarang keuzuran dan bukan kerana jimak,
b)
orang yang puasanya terbatal kerana haid dan nifas,
c)
orang yang tidak berpuasa ketika dalam perjalanan yang
jauh,
d)
orang yang tidak berpuasa kerana sakit yang masih
diharapkan sembuh,
e)
wanita yang hamil atau yang menyusu yang tidak
berpuasa bukan kerana bimbang terhadap anaknya seperti untuk kemudahan dalam
perjalanan, atau tidak berniat sesuatu pun, atau kerana bimbang terhadap
dirinya sendiri.
2.
Qada' dan fidyah ke atas;
a)
perempuan hamil yang meninggal puasa kerana bimbang
terhadap anaknya,
b)
perempuan menyusu yang meninggalkan puasa kerana
bimbang terhadap anaknya.
3.
Fidyah sahaja ke atas;
a)
orang tua yang tidak mampu berpuasa atau puasa membawa
kepada kesulitan yang bersangatan,
b)
orang sakit yang tidak diharapkan sembuh.
4.
Qada' dan kaffarah ke atas lelaki yang bersetubuh pada
siang Ramadan secara sengaja dengan ikhtiarnya dalam keadaan ingat kepada puasa
meskipun air mani tidak keluar.
Definisi Qada', Fidyah dan Kaffarah Puasa
1.
Qada' puasa; mengantikan puasa yang pernah ditinggalkan
atau puasa yang pernah batal pada hari di luar Ramadan.
2.
Fidyah puasa; mengeluarkan satu cupak (satu mudd)
makanan asasi bagi sesuatu negara bagi setiap hari puasa Ramadan yang
ditinggalkan dengan sebab-sebab yang tertentu..
3.
Kaffarah puasa; denda ke atas lelaki yang bersetubuh
dengan sengaja pada siang Ramadan dengan membebaskan hamba mukmin sama ada
lelaki atau perempuan. Jika tidak mampu, maka dia hendaklah berpuasa dua bulan
berturut-turut tidak termasuk hari puasa yang diqada'kan. Jika tidak
mampu berpuasa maka dia hendaklah memberi makan kepada enam puluh orang miskin;
iaitu bagi setiap seorang miskin satu cupak makanan asasi.
Beberapa Kelebihan Bulan Ramadan
1.
Ramadan adalah penghulu segala bulan yang ibadah
puasa difardukan padanya.
2.
Bulan yang al-Quran diturunkan padanya sekaligus di Baytul-^Izzah
di langit dunia.
3.
Segala pintu syurga dibuka dan segala pintu neraka
ditutup.
4.
Syaitan dibelenggu.
5.
Awal Ramadan adalah rahmat, pertengahannya keampunan
dan akhirnya pembebasan dari neraka.
6.
Sebarang amalan sunat diganjarkan dengan amalan fardu
di bulan yang lain, manakala satu amalan fardu diganjarkan dengan tujuh puluh
amalan fardu di bulan yang lain.
7.
Pada Ramadan ada Malam al-Qadar (Laylatu`l-Qadr)
yang lebih baik daripada seribu bulan.
Nasihat Umum
Sambutlah Ramadan kerana iman dan
dengan ilmu, bukan sekadar adat kebiasaan. Jadikanlah Ramadan sebagai tetamu
teristimewa yang menjengah kita setahun sekali. Oleh itu, hormatilah
"tetamu teristimewa ini" dengan bertaqwa kepada Allah iaitu dengan
melakukan suruhan Allah (terutama yang wajib) dan meninggalkan larangan-Nya
(terutama yang haram) dengan bertunjangkan akidah yang sebenar iaitu Akidah Ahlussunnah Wal
jamaah Al-Asyairah & Al-Maturidiyyah,antaranya beriman bahawa ‘Allah Wujud
Tanpa Arah dan Tanpa Tempat”.
Antara
suruhan Allah yang wajib ialah menuntut ilmu (terutama ilmu agama). Oleh itu,
janganlah pula menjadikan puasa atau keletihan berpuasa sebagai alasan untuk
tidak menghadiri majlis ilmu agama. Ingat! Sesuatu ibadah itu - termasuk puasa
- tidak sah jika diamalkan tanpa ilmu yang dipelajari daripada guru. Seseorang
yang berpuasa itu wajib mempelajari dan mengetahui syarat wajib dan rukun puasa
serta perkara yang membatalkan puasa dan pahala puasa.
Seterusnya,
meriahkanlah Ramadan dengan membanyakkan ibadah bukannya dengan membanyakkan
juadah. Ramadan adalah suatu tempoh latihan untuk kita mengurangkan kecap
nikmat dunia dan mengutamakan nikmat syurga.
“Bulan Ramadan sangat istimewa
Bagi mereka yang bertqwa,
Pahala berganda dapat dibawa,
Di syurga nanti gembira ketawa…”
|
“Bagi mereka yang utuh aqidah,
Ramadan disambut tanpa bergundah,
Bahkan gembira dengan ibadah,
Bukannya ghairah dengan juadah…”
|
Inilah akidah Islam.
"ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT"
WaLlahu a^lam…
Disusun
kembali :
|
Disediakan oleh :
|
معهد تربية دار الهجرة الإسلامية
MA’AHAD
TARBIAH DARUL HIJRAH AL ISLAMIAH
(PUSAT
PENDIDIKAN BERASRAMA PENUH)
Pusat Pengajian, Pendidikan & Penginapan Anak-anak Yatim Miskin
Lembaga
Pendidikan
Ma’ahad
Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah (MTDHI)
HUBUNGI
PHONE:
+609 4855115 / +6019 9119900
WEBSITE:
https://darul-hijrah.blogspot.com
mtdhi2011@gmail.com
|
Ustaz Hj Ahmad Hafiz Al Bakaniyy
Pengasas & Pengerusi Pusat Pengajian Islam Ar Rifai'e Shah Alam
Telefon / Whatsapp: 019-9328339
facebook :
Group Talaqqi Akidah ASWJ
& Hukum Hakam Puasa di sisi Mazhab Al-Syafie / Alwi Al-Bakaniyy / ustazhajiahmadhafiz
email :
|
[1] Fajar sadiq
ialah cahaya matahari yang muncul secara melintang di sebelah ufuk timur
selepas kemunculan fajar kadhib iaitu cahaya matahari yang muncul secara
menegak atau mencapah di sebelah ufuk timur.
[2] Jika seseorang itu memasukkan sesuatu benda ke dalam
rongga dalam keadaan lupa, atau dipaksa (dengan ugutan yang mengancam nyawa),
atau jahil kerana baru memeluk Islam atau
jahil kerana sangat jauh dari tempat pengajian ilmu agama, maka puasanya
tidak batal.
[3] Iaitu air liur
yang tidak bercampur dengan benda lain atau tidak bercampur najis
[4] Antara masalah haid yang jarang diketahui ialah: Jika
seorang perempuan didatangi haid 7 hari misalnya, kemudian pada hari ke 8 dan
ke 9 darah haid tidak keluar dan dia berpuasa, dan seterusnya pada hari ke 10
dan ke 11 dia didatangi haid lagi, maka puasanya pada hari ke 8 dan ke 9 itu
tidak sah kerana kedua-dua hari itu termasuk dalam tempoh haid.
Comments