Friday, June 21, 2013

Puisi Dan Pantun Buat Peringatan Anak-Anak

Ma'ahad Darul Hijrah mengajak seluruh pembaca agar terus mendoakan kebaikan buat ibubapa kita, samada yang masih bersama kita atau yang telah pergi meninggalkan kita.
Maruah mereka, hidup atau mati perlulah dijaga dan dihormati. Walaubagaimana mereka sekalipun.
Kasih sayang pasangan kita boleh dicari ganti, tetapi kasih sayang seorang ibubapa tiada penggantinya.
Ibubapa perlu dihormati bukannya dijadikan seperti kawan sepanjang masa. Had dan batasan pergaulan dan percakapan kita perlu diawasi jangan sampai menyentuh hati mereka.
Terhiris kerana perangai kita akan mengakibatkan luka sepanjang masa, meskipun kemaafan telah diungkapkan.
Kembalilah kita untuk sama-sama sedar, bahawa kasih sayang ibubapa tiada tandingan.

 Pantun Untuk Ibu

kasih ibu membawa ke syurga
tanpa ibu siapalah kita
Anak seluang terenang-renang,
Di balik batu mencari makan;
Budimu ibu tetap kukenang,
Walau jauh nun di rantauan.

Rintik berketak pinggir halaman,
Kokokan Jalak sahut-sahutan;
Wang berjuta bukan nilaian,
Pengorbanan ibu segar di ingatan,
Asam pauh rasanya masam,
Ditumbuk mesra sambal belacan;
Leteran ibu tak pernah padam,
Pelbagai nasihat buat bekalan.

Tanam melur tepi perigi,
Harum baunya memikat hati;
Sabarnya ibu tiada terperi,
Kerenah anak sanggup hadapi.

Mekar mawar kuntum mewangi,
Tampak jelas celah rimbunan,
Susah payahnya pendam di hati,
Berbagai cabaran bukan halangan.

Lebat bunganya buah rambutan,
Berselang seli pokok pulasan;
Serangkum doa daku pohonkan,

Agar hidupmu dilimpahi keberkatan.
 
dari :http://kalambestari66.blogspot.com
 
Buat Ibu Tercinta
Tarian gamelan lagu senandung,
Warisan bangsa penuh keramat;
Sembilan bulan sarat mengandung,
Tetap ceria sedia berkhidmat.
 Anak ikan di dalam balang,
Tidak banyak berenang sendiri;
Sakit melahirkan bukan kepalang,
Melihat anak wajah berseri.
Anak rubah dipanggang api,
Dimakan oleh orang Iban;
Penat lelah tolak ke tepi,
Demi anak rela berkorban.
Pergi ke pekan membeli laici,
Singgah berehat bersama teman;
Marahnya bukan marah membenci,
Sebagai nasihat jadikan pedoman.
Ulam pegaga tumbuh melata,
Tumbuh banyak di laman depan;
Emas permata tiada dipinta,
Kejayaan anak menjadi harapan.
Buat rumah dari kayu-kayan,
Masak bersama ikan keli;
Harta melimpah bukan impian,
Selaut kasih lebih bererti.
Pedas rasanya cabai Melaka,
Masak bersama ikan keli;
Sekali hatinya terguris luka,
Nikmat syurga jauh sekali.
Air dicedok dari perigi,
Membasuh tangan selepas makan;
Andai dia telah pergi,
Sepotong doa anak sedekahkan.
Serai serumpun sirih sejunjung,
Diletak orang di tengah laman;
Kasih ibu tiada penghujung,
Menjadi sanjungan ke akhir zaman.

dari: http://ixoramerah.wordpress.com

Kasih sayang seorang ibubapa tiada tandingan. Anak-anak lelaki menjadi kewajipan kalian mencari pasangan hidup yang mengajak kalian menyayangi ibubapa. Jangan jadikan pasangan kita sebagai penghalang hubungan kekeluargaan dan jangan jadikan kita penyudah kepada silaturrahim kekeluargaan yang perlu dijaga
 

PUISI 
Cukup azab ibu mengandung
Hari berjalan bulan dihitung
Ibu menyerah rugi dan Untung
Kepada Allah meminta tolong
Cukup bulan dan harinya
Seorang bayi dilahirkan
Bidan menyambut dengan halusnya
Hampir si ibu hilang nyawanya
Bila sianak mampu berdiri
Ibu dilayan sebagai abdi
Kain dan baju disuruh cuci
Makan dan minum disuruh saji
Ibu yang malang berdukacita
Duduk berendam siair mata
Akhir si ibu menutup mata
Akibat perbuatan anak DERHAKA

dari :http://riefismi.wordpress.com

Monday, June 10, 2013

Pendidikan Penggal Kedua 2013 Ma'ahad

Semangat mencari ilmu terus membara dikalangan pelajar-pelajar Ma'ahad. Ada di antaranya telah balik ke Ma'ahad pada hari Sabtu meskipun hari yang ditetapkan balik pada hari Ahad (9/6/2013). Seperti biasa, ibubapa melaporkan kegiatan harian anak-anak mereka kepada pihak Ma'ahad. Ada yang menggembirakan dan ada juga yang tidak menyeronokkan.
Ada diantara pelajar yang balik ke kampong baru-baru ini telah menunjukkan perubahan ke arah kebaikkan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak. Dan ada juga yang kembali ke perangai lama, kebanyakkannya mereka yang datang dari sekolah lain dan masuk ke Ma'ahad pertengahan tahun. Inilah kerenah manusia. Membentuk bukannya semudah teori yang dipaparkan tetapi pelaksanaan dan kerjasama dari semua pihak amatlah diperlukan.

Membina manusia tidaklah seperti membina sebuah bangunan. Teori dan kiraan binaan bangunan adalah tetap dan kekadang boleh berubah mengikut kehendak pelanggan. Berbeza dengan membangunkan peribadi manusia. Kehebatan dan kecekalan tenaga pendidik yang ikhlas beserta kekreatifan tenaga pendidik inilah yang mampu mencorak keperibadian manusia yang setiap saat dan detik sentiasa berubah dan berkembang.
Tenaga pendidik memerlukan daya kreatif pembimbing dan pendidik yang sentiasa hidup dan pelbagai untuk menjana individu yang cemerlang. Penghargaan ini wajarnya dipandang tinggi oleh masyarakat dan negara.

Seorang pelajar memerlukan satu teori dan satu kaedah cara pendidikan. Bayangkan berapa ramai pelajar yang perlu dibina teori dan kaedah untuk dibentuk peribadi mereka. Hebatnya seorang pendidik yang mempunyai kekreatifan yang uar basa anugerah illahi.
Oleh itu, tiada tempat sebaik-baik rujukan dan pergantungan bagi seorang tenaga pendidik melainkan banyakkan diri bermunajat kepada Allah untuk membantu mengilhamkan teori dan kaedah yang luar biasa. Agar teori dan kaedah itu dapat dimanfaatkan kepada setiap seorang pelajar. Semoga berkat usaha dari setiap tenaga pendidik dengan bantuan dari Allah dapat menjanakan dan menjadikan pelajar itu baik dan lengkap sebagai seorang hamba Allah yang sempurna.

MA'AHAD TARBIAH DARUL HIJRAH AL ISLAMIAH(MTDHI) - Ilmu Yang Dicari

Ilmu adalah asas penting dalam kehidupan manusia. Kita lihat di dalam Al-Quran bagaimana Allah سبحانه وتعالى  telah mengangkat darjat Nabi A...