Wednesday, April 29, 2020

رمضان المبارك - كل عام وأنتم بخير

رمضان المبارك - كل عام وأنتم بخير : Ungkapan Ummi (Pengetua Ma'ahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah-MTDHI) untuk warga Ma'ahad yang dikasihi. Doa yang berterusan dipanjatkan kepada Yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang, agar semua warga Ma'ahad dan seluruh umat Islam berada dalam kesihatan dan redho Allah selalu.
Ramadhan tahun ini disambut dalam suasana pandemik yang masih belum menampakkan penghujungnya. Meskipun begitu terus diingatkan kepada warga Ma'ahad agar terus menghidupkan suasana Ramadhan siang dan malamnya dengan terus beribadat kepada Allah dan terus bermunajat memohon agar diselamatkan dari wabak virus COVID-19 dan diselamatkan dari azab seksa dan nereka jahanam.

Kebiasaannya ketika ini pihak Ma'ahad akan sibuk memenuhkan aktiviti khas sepanjang bulan ibadat Ramdhan Al Mubarak ini. Pelajar akan disediakan kumpulan-kumpulan khas untuk bertadarus Al Quran. Beberapa hari akan dipilih untuk menyediakan juadah berbuka kepada ahli qaryah yang berdekatan disamping akan mengadakan Tahlil Perdana.

Beberapa orang pelajar juga akan diajak untuk menyediakan juadah berbuka puasa bersama dengan kakitangan Ma'ahad. Program qiamullail juga disusun agar pelajar-pelajar dapat mengimarakkan malam Ramadhan Al Mubarak. Beberapa pelajar tahfiz akan dipilih untuk mengimamkan solat qiam Ramadhan/Tarawikh.

Tapi realitinya hari ini, kita semua hanya mampu berjumpa di alam maya. Program tadarus juga disusun dan dibimbing oleh kakitangan Ma'ahad secara online. Begitu juga kelas-kelas pengajian dan tazkirah serta peringatan dari Ummi juga akan disampaikan melalui aplikasi alam maya kini. Nak atau pun tidak, ibubapa dan penjaga perlu bekerjasama dengan pihak Ma'ahad untuk memastikan pelajar berpeluang untuk mengikuti kelas-kelas pengajian yang telah disusunkan melalui alam maya ini.

Pesanan dari Ummi :
- Pastikan semua pelajar menghormati dan mengasihi keluarga.
- Selalulah bantu ibu dan ayah dalam menguruskan keceriann di rumah
- JANGAN sesakali menyakitkan hati atau meninggikan suara terhadap ibu dan ayah begitu juga terhadap adik beradik
- Hiduplah dalam suasana harmoni dan sentiasa menjaga kebersihan rumah dalam dan luar, begitu juga diri sendiri.
- Hidupkan suasana di rumah solat berjemaah.

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL MUBARAK DAN SAMA-SAMA KITA MENGIMARAHKANNYA.

DOAKANLAH AGAR KITA DIGOLONGKAN BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG MENGIMARAHKAN RAMADHAN.

Monday, April 20, 2020

RISALAH RAMADHAN








Risalah Ramadan
[siri 1, Ramadan 1441 H]




PANDUAN RINGKAS IBADAH PUASA


 بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji itu tertentu bagi Allah tuhan semesta alam.

Selawat dan salam buat Rasulullah yang membawa cahaya bagi menerangi kelam,juga buat keluarga dan para sahabat Baginda yang ibarat bintang di langit malam,

 Definisi Puasa


Puasa ialah menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbitnya fajar sadiq[1] hingga terbenamnya matahari dengan niat.

Cara Menentukan Awal Ramadan

Awal Ramadan ditentukan dengan melihat hilal (anak bulan) di ufuk barat selepas matahari hari 29 Syaaban iaitu pada waktu Maghrib. Jika hilal kelihatan maka bermulalah 1 Ramadan dan Syaaban hanya 29 hari. Jika hilal tidak kelihatan maka wajib mengenapkan bulan Syaaban dengan 30 hari.

Syarat-syarat Wajib Puasa

Puasa diwajibkan ke atas setiap;

1.           muslim yang

2.           baligh,

3.           berakal dan

4.           mampu berpuasa.

          Oleh itu, puasa tidak sah untuk dilakukan oleh orang kafir asal dan juga orang murtad. Selain itu, puasa juga tidak sah untuk dilakukan oleh perempuan yang sedang mengalami haid atau nifas.

          Puasa tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak. Meskipun begitu, ibu bapa atau penjaga diwajibkan supaya mengajar dan menyuruh anaknya berpuasa selepas genap berusia tujuh tahun. Seterusnya, apabila genap usia sepuluh tahun maka anak itu hendaklah dipukul oleh ibu bapa atau penjaga kerana meninggalkan puasa dalam keadaan dia mampu berpuasa dan si anak itu tidak wajib mengqada'kan puasa yang ditinggalkan itu. Demikian juga puasa tidak diwajibkan ke atas orang gila dan tidak wajib mengqada'kan puasa yang ditinggalkannya.

    Selanjutnya, puasa yang dilakukan secara tunai tidak diwajibkan ke atas orang sakit yang jika puasa boleh memudaratkannya, tetapi dia diwajibkan qada' puasa pada hari yang lain selepas sihat. Selain itu, puasa tunai juga tidak diwajibkan ke atas orang yang bermusafir dengan perjalanan sejauh dua marhalah, tetapi dia diwajibkan qada' puasa jika dia meninggalkan puasa. Musafir yang mahu meninggalkan puasa hendaklah keluar dari kampungnya sebelum terbitnya fajar dengan niat bermusafir.

          Puasa juga tidak diwajibkan ke atas orang tua yang tidak larat berpuasa iaitu yang dibimbangi kebinasaan dan kematian.

 Rukun-rukun Puasa

 1.                       Niat; iaitu tempat niat ialah di dalam hati dan masa niat bagi puasa fardu atau wajib ialah dari terbenamnya matahari sehingga sebelum terbitnya fajar sadiq. Niat puasa fardu Ramadan wajib pada waktu malam bagi setiap hari dalam bulan Ramadan dengan menentukan jenis puasa. Puasa tidak sah tanpa niat di dalam hati, tetapi puasa tetap sah tanpa lafaz niat dengan lidah jika sudah diniatkan di dalam hati.

              Perempuan yang terputus darah haid atau darah nifas pada waktu malam hendaklah berniat untuk berpuasa untuk hari esok meskipun dia belum mandi wajib. Ini kerana mandi wajib adalah syarat sah solat bukannya syarat sah puasa. Perbuatan makan, tidur dan jimak selepas niat dan sebelum terbitnya fajar tidak membatalkan niat dan puasa.

              Sesiapa tidur pada waktu malam dan dia belum berniat untuk berpuasa hingga dia sedar selepas terbitnya fajar, maka dia diwajibkan menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan qada' puasa yang ditinggalkan itu.

2.                       Menahan diri; iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbitnya fajar sadiq sehingga terbenamnya matahari.


Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa

 1.             Memasukkan sesuatu benda dengan sengaja[2] ke dalam rongga sama ada rongga untuk makanan dan selainnya kecuali mata. Batas rongga-rongga tersebut adalah seperti berikut;

a)             Mulut; tempat keluar huruf ha' (ha' pedas) seperti menelan sesuatu walaupun sedikit sehingga melampaui tempat selepas tempat keluar huruf ha' kecuali air liurnya[3] yang sedia ada di dalam mulutnya. Jika air liurnya dikeluarkan ke luar mulut kemudian dia menelannya maka puasanya batal.

b)            Hidung; khayshum, iaitu hujung hidung di tempat yang ada tulang. Jika sesiapa memasukkan sesuatu ke dalam hidungnya hingga sampai ke khayshum maka puasanya batal.

c)             Telinga; lubang telinga.

d)            Kemaluan; had qubul lelaki ialah suatu yang melampaui tempat keluar (lubang) air kencing, dan had qubul perempuan ialah suatu yang melampaui farajnya seperti keadaan farajnya ketika duduk di atas dua kakinya untuk buang air. Had dubur ialah suatu yang melampaui bahagian yang terbuka ketika istinjak meskipun sedikit.

2.             Jimak.

3.             Mengeluarkan air mani dengan sengaja seperti beronani.

4.             Keluar darah haid dan nifas[4].

5.             Muntah dengan sengaja.

6.             Hilang akal walaupun seketika.

7.             Pengsan keseluruhan siang.

8.             Murtad, iaitu dengan salah satu daripada tiga sebab berikut:

a)             pegangan yang kufur seperti beriktikad bahawa Allah berada bertempat di atas langit atau duduk di atas Arasy (inilah antara akidah kufur fahaman Wahhabi mujassimah), atau

b)            perbuatan yang kufur seperti memijak al-Quran atau sujud terhadap berhala, atau

c)             perkataan yang kufur seperti perkataan yang menghina Allah, para nabi dan rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan semua yang bersangkutan dengan hukum dan syiar Islam. Contohnya, kata-kata ini: "Allah pun letih juga", "Cintaku kepadamu melebihi cintaku kepada Nabi", "Al-Quran ketinggalan zaman", "Solat lima waktu tidak wajib" dll.

Tuntutan-tuntutan Ke Atas Orang Yang Tidak Berpuasa (Bulan Ramadan)

 1.             Qada' sahaja ke atas;

a)             orang yang tidak puasa atau membatalkan puasa dengan sengaja (tidak lupa) tanpa sebarang keuzuran dan bukan kerana jimak,

b)            orang yang puasanya terbatal kerana haid dan nifas,

c)             orang yang tidak berpuasa ketika dalam perjalanan yang jauh,

d)            orang yang tidak berpuasa kerana sakit yang masih diharapkan sembuh,

e)             wanita yang hamil atau yang menyusu yang tidak berpuasa bukan kerana bimbang terhadap anaknya seperti untuk kemudahan dalam perjalanan, atau tidak berniat sesuatu pun, atau kerana bimbang terhadap dirinya sendiri.

2.             Qada' dan fidyah ke atas;

a)             perempuan hamil yang meninggal puasa kerana bimbang terhadap anaknya,

b)            perempuan menyusu yang meninggalkan puasa kerana bimbang terhadap anaknya.

3.             Fidyah sahaja ke atas;

a)             orang tua yang tidak mampu berpuasa atau puasa membawa kepada kesulitan yang bersangatan,

b)            orang sakit yang tidak diharapkan sembuh.

4.             Qada' dan kaffarah ke atas lelaki yang bersetubuh pada siang Ramadan secara sengaja dengan ikhtiarnya dalam keadaan ingat kepada puasa meskipun air mani tidak keluar.

Definisi Qada', Fidyah dan Kaffarah Puasa

1.                       Qada' puasa; mengantikan puasa yang pernah ditinggalkan atau puasa yang pernah batal pada hari di luar Ramadan.

2.                       Fidyah puasa; mengeluarkan satu cupak (satu mudd) makanan asasi bagi sesuatu negara bagi setiap hari puasa Ramadan yang ditinggalkan dengan sebab-sebab yang tertentu..

3.                       Kaffarah puasa; denda ke atas lelaki yang bersetubuh dengan sengaja pada siang Ramadan dengan membebaskan hamba mukmin sama ada lelaki atau perempuan. Jika tidak mampu, maka dia hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut tidak termasuk hari puasa yang diqada'kan. Jika tidak mampu berpuasa maka dia hendaklah memberi makan kepada enam puluh orang miskin; iaitu bagi setiap seorang miskin satu cupak makanan asasi.

Beberapa Kelebihan Bulan Ramadan

1.                       Ramadan adalah penghulu segala bulan yang ibadah puasa difardukan padanya.

2.                       Bulan yang al-Quran diturunkan padanya sekaligus di Baytul-^Izzah di langit dunia.

3.                       Segala pintu syurga dibuka dan segala pintu neraka ditutup.

4.                       Syaitan dibelenggu.

5.                       Awal Ramadan adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka.

6.                       Sebarang amalan sunat diganjarkan dengan amalan fardu di bulan yang lain, manakala satu amalan fardu diganjarkan dengan tujuh puluh amalan fardu di bulan yang lain.

7.                       Pada Ramadan ada Malam al-Qadar (Laylatu`l-Qadr) yang lebih baik daripada seribu bulan.

 Nasihat Umum

Sambutlah Ramadan kerana iman dan dengan ilmu, bukan sekadar adat kebiasaan. Jadikanlah Ramadan sebagai tetamu teristimewa yang menjengah kita setahun sekali. Oleh itu, hormatilah "tetamu teristimewa ini" dengan bertaqwa kepada Allah iaitu dengan melakukan suruhan Allah (terutama yang wajib) dan meninggalkan larangan-Nya (terutama yang haram) dengan bertunjangkan akidah yang sebenar iaitu Akidah Ahlussunnah Wal jamaah Al-Asyairah & Al-Maturidiyyah,antaranya beriman bahawa ‘Allah Wujud Tanpa Arah dan Tanpa Tempat”.

          Antara suruhan Allah yang wajib ialah menuntut ilmu (terutama ilmu agama). Oleh itu, janganlah pula menjadikan puasa atau keletihan berpuasa sebagai alasan untuk tidak menghadiri majlis ilmu agama. Ingat! Sesuatu ibadah itu - termasuk puasa - tidak sah jika diamalkan tanpa ilmu yang dipelajari daripada guru. Seseorang yang berpuasa itu wajib mempelajari dan mengetahui syarat wajib dan rukun puasa serta perkara yang membatalkan puasa dan pahala puasa.

         Seterusnya, meriahkanlah Ramadan dengan membanyakkan ibadah bukannya dengan membanyakkan juadah. Ramadan adalah suatu tempoh latihan untuk kita mengurangkan kecap nikmat dunia dan mengutamakan nikmat syurga.


“Bulan Ramadan sangat istimewa
Bagi mereka yang bertqwa,
Pahala berganda dapat dibawa,
Di syurga nanti gembira ketawa…”

“Bagi mereka yang utuh aqidah,
Ramadan disambut tanpa bergundah,
Bahkan gembira dengan ibadah,
Bukannya ghairah dengan juadah…”

 Inilah akidah Islam.

"ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT"

WaLlahu a^lam…



Disusun kembali :
Disediakan oleh :
معهد تربية دار الهجرة الإسلامية
MA’AHAD TARBIAH DARUL HIJRAH AL ISLAMIAH
(PUSAT PENDIDIKAN BERASRAMA PENUH)
Pusat Pengajian, Pendidikan & Penginapan Anak-anak Yatim Miskin

Lembaga Pendidikan
Ma’ahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah (MTDHI)

HUBUNGI

PHONE:
+609 4855115 / +6019 9119900
WEBSITE:
https://darul-hijrah.blogspot.com
mtdhi2011@gmail.com
Ustaz Hj Ahmad Hafiz Al Bakaniyy
Pengasas & Pengerusi Pusat Pengajian Islam Ar Rifai'e Shah Alam
Telefon / Whatsapp: 019-9328339
facebook : 
Group Talaqqi Akidah ASWJ & Hukum Hakam Puasa di sisi Mazhab Al-Syafie / Alwi Al-Bakaniyy / ustazhajiahmadhafiz
email :
arrifaieislamic@yahoo.com / ahmadhafizalbakaniyy@gmail.com








[1] Fajar  sadiq ialah cahaya matahari yang muncul secara melintang di sebelah ufuk timur selepas kemunculan fajar kadhib iaitu cahaya matahari yang muncul secara menegak atau mencapah di sebelah ufuk timur.
[2] Jika seseorang itu memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dalam keadaan lupa, atau dipaksa (dengan ugutan yang mengancam nyawa), atau jahil kerana baru memeluk Islam atau  jahil kerana sangat jauh dari tempat pengajian ilmu agama, maka puasanya tidak batal.
[3] Iaitu  air liur yang tidak bercampur dengan benda lain atau tidak bercampur najis
[4] Antara masalah haid yang jarang diketahui ialah: Jika seorang perempuan didatangi haid 7 hari misalnya, kemudian pada hari ke 8 dan ke 9 darah haid tidak keluar dan dia berpuasa, dan seterusnya pada hari ke 10 dan ke 11 dia didatangi haid lagi, maka puasanya pada hari ke 8 dan ke 9 itu tidak sah kerana kedua-dua hari itu termasuk dalam tempoh haid.

Monday, April 13, 2020

Pesanan Pengetua Sempena PKP COVID-19 Disambung Hingga 28 April 2020

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Pihak Ma'ahad telah menyambut baik usaha-usaha Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membenteras wabak COVID-19 dengan cara memutuskan rangkaiannya melalui penyambungan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sehingga 28 April 2020 bersamaan 5 Ramadhan 2020.

Pihak Ma'ahad mendoakan agar semua pelajar dan keluarga berada di dalam keadaan yang sihat di bawah lindungan Allah Yang Esa dan sentiasa mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
Pesanan yang berterusan dari pihak Ma'ahad agar semua dapat mematuhi arahan yang telah diputuskan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat masa ini. Kebersihan tentunya menjadi tunggak utama kini dalam mengharungi pandemic Covid-19 ini. Apapun pastikan semua pelajar dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk.


Keadaan yang memaksa kita berada di dalam rumah yang terlalu lama akan mengakibatkan kepelbagai ragam dan reaksi yang akan keluar, maka bersabarlah dalam menghadapinya. Sentiasalah menghidupkan suasana dalam rumah solat berjemaah. Anak-anak lelaki disarankan selalu melaungkan azan di rumah dan melatih anak-anak perempuan sesekali malafazkan iqamah sebelum solat berjemaah didirikan.
Hidupkan suasasana di rumah halaqah bacaan Al Quran dan bersalawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad.

Pihak Ma'ahad akan cuba mengatur perjalanan jadual persekolahan yang teratur untuk semua pelajar mengikutinya ketika berada di rumah masing-masing. Kepatuhan dan disiplin ini akan terus dipantau dari jauh dan mengharapkan kerjasama ibubapa dan penjaga pelajar agar dapat memberikan kerjasama yang baik bagi mengatur pendidikan untuk anak-anak.
Langkah pertama yang akan diperkenalkan kepada semua pelajar adalah Pendidikan melalui aplikasi SKYPE. Pihak Ma'ahad meminta ibubapa atau penjaga pelajar dapat menyediakan ruangan ini bagi memudahkan pihak Ma'ahad berhubung dengan pelajar.
Doa yang berterusan dipanjantkan kepada Allah agar segala kesusahan dan sebarang wabak yang sedang melanda di negara Malaysia kini dapat dipulihkan dengan kadar segera.


Salam rindu dan penuh ingatan dari warga Ma'ahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah (MTDHI) terutama salam dari Ummi (Pengetua Ma'ahad) untuk semua pelajar dan keluarga.

MA'AHAD TARBIAH DARUL HIJRAH AL ISLAMIAH(MTDHI) - Ilmu Yang Dicari

Ilmu adalah asas penting dalam kehidupan manusia. Kita lihat di dalam Al-Quran bagaimana Allah سبحانه وتعالى  telah mengangkat darjat Nabi A...